Tuesday, January 25, 2011

Selamat Hari Lahir, Azfar.

Hari ini genaplah usia 6 tahun salah seorang pelajar PASTI Al-Furqan, Ahmad Azfar. Seperti kebiasaannya, pada setiap kali ulangtahun kelahiran anak-anak di PASTI ini, sedikit jamuan ringan akan diadakan dengan sedikit makanan tambahan yang special

Sebelum menikmati jamuan yang diadakan pada waktu rehat ini, murid-murid akan mengikut cikgu mereka mendoakan sahabat mereka yang menyambut ulangtahun kelahiran itu.

Cikgu Jamilah, gembira melayan murid-murid.

"Murid-murid, hari ni hari lahir Azfar," umum Cikgu Jamilah.

"Sekarang, kita doa untuk Azfar ye.." sambung Cikgu Jamilah.

"Selamat hari lahir, Azfar. Semoga Ahmad Azfar menjadi anak yang soleh," doa Cikgu Jamilah, sambil diikuti murid-murid yang lain.

Antara yang sempat dicapture pagi tadi:

"Meh cikgu ajar Azfar potong kek.."


Nyumnyum.. Nampak sedapnya kek ummi Azfar buat. Nak! Nak!

Doakan Azfar. Amiin.



Madah Untuk Ummi

“Ummi sihat ke?”

“Macam ni lah…” jawabnya ringkas.

“Ni minyak unta ni, saya hadiahkan untuk ummi, kalau sakit kepala, selsema ke, ummi sapu je.”

“Oh…” ummi mengangguk sambil mengambil minyak unta kecil yang dihulurkan kepadanya. Terima kasih,” balasnya sambil senyum melirik.

“Kalau ada kawan-kawan yang nak beli, ummi bagitau saya. Ni nombor telefon saya. Rm2.50 je,” ucap saya sambil menulis nombor telefon di atas sehelai kertas dan memberikan kepadanya.

Itulah dialog terakhir saya bersama ummi. Ketika itu saya berada di SRATI kerana mengikuti program Tamrin Nuqoba' peringkat Negeri Perak yang dianjurkan bersama MGP Negeri dan Anjung Hidayah.

Pertemuan yang terakhir bersama ummi pula ialah ketika kursus Transisi yang diadakan pada 20 Desember 2010 bertempat di Sekolah Rendah Islam Darul Saadah, Kg Bahagia, Teluk Intan. Ketika itu ummi kelihatan sangat ceria, menerangkan dan mendendangkan lagu-lagu  untuk pelajar-pelajar PASTI kepada peserta-peserta Transisi. Suara ummi yang lunak lembut itu, masih terngiang-ngiang ditelinga saya, terutama ketika mendendangkan lagu ‘Sejadahku’. Di hati kecil ini ketika itu berkata ‘Bersemangat betul ummi  ni, tak sepadan dengan usianya, kalah orang-orang yang lebih muda’. Gaya dan karakter ummi itu membuat hati ini berdetik.

“Kita, guru-guru PASTI inilah sahabat sejati” Antara kata-katanya yang jadi kenangan sampai bila-bila.

“Cabaran dan ujian  yang diberikan oleh Allah SWT kepada  kita,terimalah dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Ganjaran, Allah akan  beri ,jika tidak didunia di Akhirat. InsyaAllah”. Sambungnya lagi. Ketika itu saya lihat kejujuran dan keikhlasan benar-benar terpancar  diwajahnya.

Begitulah.. Aura yang ada pada Ummi itu seolah-olah telah memberikan  suntikan semangat dalam diri ini. Di setiap pertemuan dengannya, setiap itulah semangat untuk bersama PASTI sentiasa hidup, setiap ucapannya dapat menarik dan melembutkan hati guru-guru PASTI untuk terus berkhidmat mendidik anak-anak bangsa, walaupun imbuhan yang diterima tidak seberapa. Dan itulah jua anugerah yang diberikan oleh Allah kepadanya dalam menangani kerenah guru-guru yang dianggap seperti anak-anak dan adik-adiknya. 

Kini Puan Hajjah Asmah bt. Tukiran atau sinonim dengan panggilan ummi telah pergi. Terasa sebak hati ini. Tiada lagi celoteh seorang ibu kepada anaknya. Celoteh seorang kakak kepada adiknya. Ummi telah pergi buat selama-lamanya menyambut panggilan Ilahi. Namun segala kata-kata dan nasihatnya akan tetap jadi kenangan dan tidak akan luput dalam kamus ingatan.

Ummi  telah kembali keRahmatullah pada tanggal 11 Safar 1432 bersamaan 15 Januari 2011. Sabtu, lebih kurang jam 3.30 petang,didalam usianya 54 tahun. Semoga rohnya dicucuri Rahmat dan ditempatkan bersama  orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin..!

Cuaca suram yang mengiringi jenazah ummi benar-benar meruntun hati ini. Siapalah kita untuk menolak Qada’ dan Qadarnya.

Lebih kurang jam 11 pagi, pada hari Ahad, jenazah ummi disembahyangkan di masjid Taman Meru berhampiran terataknya. Saya dan beberapa sahabat sempat bersembahyang  jenazah bersama-sama jemaah yang lain.

Dengan diiringi kaum keluarga dan sahabat handai yang dikasihi, akhirnya jenazah ummi selamat disemadikan……’Inna Lillah, Wainna ilaihi Rojiun’…Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita akan kembali. Mudah-mudahan kita semua berkumpul dan bertemu di SyurgaMu.

Al-Fatihah buat Ummi.


Coretan.
Hamoma 
(Hamidah bt. Omar)
PASTI Al-Furqan
Bandar Seri Iskandar
Bota. 
Perak Darul Ridzuan.
16 Januari 2011

Friday, January 14, 2011

PASTI Al-Furqan Berwajah Baru.. 2011

Sudut Pandangan Utama
Pandangan Hadapan 1
Pandangan Hadapan 2

Pandangan Hadapan 3

Pandangan Sisi 1

Pandangan Sisi 2

Pandangan Sisi 3

Pandangan Sisi 4

Thursday, January 13, 2011

PERUTUSAN KETUA PENGARAH PASTI MALAYSIA.

Jumaat, 25 Muharam 1432H – 31 Disember 2010

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatu... 

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w.,para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Di Malaysia, perkembangan institusi pendidikan prasekolah memperlihatkan kepesatan dengan tertubuhnya pelbagai prasekolah dengan visi, misi serta pendekatan yang tersendiri. Kepelbagaian tersebut menunjukkan bahawa pendidikan prasekolah semakin mendapat perhatian dan sambutan daripada ibu bapa lantaran keperluannya dalam membangunkan modal insan sejak dari awal lagi. Kewujudan PASTI membangunkan pendidikan di peringkat prasekolah dan Kelas Asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah (FAFFAH) adalah bertujuan mengembalikan kefahaman dan keyakinan ibu bapa bahawa anak-anak wajib diberi pendidikan awal Islam sebab kita berpegang kepada pesanan Nabi Muhammad s.a.w bahawa anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci lagi bersih manakala pendidikan yang kita berikan akan mencorakkan diri dan kehidupan mereka.

Saya mengambil kesempatan pada ruang ini untuk mengucapkan selamat datang kepada semua murid yang mendaftar ke semua cawangan PASTI di seluruh negara. Saya yakin dan percaya bahawa tuan-tuan dan puan-puan membuat keputusan untuk menghantar anak-anak belajar di PASTI kerana memahami bahawa pendidikan awal Islam merupakan satu ruang yang amat berkesan untuk membangunkan rohani, fizikal, intelek, emosi dan sosial anak-anak menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga merupakan manifestasi keyakinan ibu bapa terhadap kemampuan pihak pengurusan dan guru melaksanakan amanah yang diberikan oleh mereka.

Oleh itu, saya mengharapkan semua pihak yang terbabit secara langsung dalam organisasi dan sistem pendidikan ini agar terus melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan baik, istiqamah dan berkesan. Terima kasih atas kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan.Terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak pengurusan dan guru-guru PASTI cawangan di seluruh negara yang bekerja keras membuat persiapan bagi sesi persekolahan 2011 ini. Semoga kita dapat menguruskan PASTI kita dengan penuh rasa tanggungjawab, memberi pendidikan yang terbaik kepada murid-murid kita dan menjayakan program-program yang telah dirancang di semua peringkat seperti Sambutan Hari Guru, Sukan PASTI, Ihtifal dan lain-lain lagi. Penglibatan ibu bapa dan masyarakat amat kami alu-alukan bagi menjadikan sistem pendidikan PASTI sebagai sistem pendidikan umat yang terbaik.

Sekian, terima kasih.

Yang melaksanakan amanah,


AZRIN BIN AB. MAJID
Ketua Pengarah
Jabatan Pendidikan PASTI Malaysia

SESI PEMBELAJARAN JANUARI 2011 TELAH BERMULA.

Murid-murid begitu ceria dan gembira kembali ke PASTI..

Penumpuan murid-murid semasa sesi pembelajaran amat ditekankan


Membentuk Generasi Al-Qur'an

Nilai Ukhuwah sesama murid-murid turut disemai..
Pelajar diajar supaya menghormati Guru dan menyayangi ibubapa.
Sebahagian tenaga pengajar dan murid-murid PASTI