Tuesday, January 25, 2011

Madah Untuk Ummi

“Ummi sihat ke?”

“Macam ni lah…” jawabnya ringkas.

“Ni minyak unta ni, saya hadiahkan untuk ummi, kalau sakit kepala, selsema ke, ummi sapu je.”

“Oh…” ummi mengangguk sambil mengambil minyak unta kecil yang dihulurkan kepadanya. Terima kasih,” balasnya sambil senyum melirik.

“Kalau ada kawan-kawan yang nak beli, ummi bagitau saya. Ni nombor telefon saya. Rm2.50 je,” ucap saya sambil menulis nombor telefon di atas sehelai kertas dan memberikan kepadanya.

Itulah dialog terakhir saya bersama ummi. Ketika itu saya berada di SRATI kerana mengikuti program Tamrin Nuqoba' peringkat Negeri Perak yang dianjurkan bersama MGP Negeri dan Anjung Hidayah.

Pertemuan yang terakhir bersama ummi pula ialah ketika kursus Transisi yang diadakan pada 20 Desember 2010 bertempat di Sekolah Rendah Islam Darul Saadah, Kg Bahagia, Teluk Intan. Ketika itu ummi kelihatan sangat ceria, menerangkan dan mendendangkan lagu-lagu  untuk pelajar-pelajar PASTI kepada peserta-peserta Transisi. Suara ummi yang lunak lembut itu, masih terngiang-ngiang ditelinga saya, terutama ketika mendendangkan lagu ‘Sejadahku’. Di hati kecil ini ketika itu berkata ‘Bersemangat betul ummi  ni, tak sepadan dengan usianya, kalah orang-orang yang lebih muda’. Gaya dan karakter ummi itu membuat hati ini berdetik.

“Kita, guru-guru PASTI inilah sahabat sejati” Antara kata-katanya yang jadi kenangan sampai bila-bila.

“Cabaran dan ujian  yang diberikan oleh Allah SWT kepada  kita,terimalah dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Ganjaran, Allah akan  beri ,jika tidak didunia di Akhirat. InsyaAllah”. Sambungnya lagi. Ketika itu saya lihat kejujuran dan keikhlasan benar-benar terpancar  diwajahnya.

Begitulah.. Aura yang ada pada Ummi itu seolah-olah telah memberikan  suntikan semangat dalam diri ini. Di setiap pertemuan dengannya, setiap itulah semangat untuk bersama PASTI sentiasa hidup, setiap ucapannya dapat menarik dan melembutkan hati guru-guru PASTI untuk terus berkhidmat mendidik anak-anak bangsa, walaupun imbuhan yang diterima tidak seberapa. Dan itulah jua anugerah yang diberikan oleh Allah kepadanya dalam menangani kerenah guru-guru yang dianggap seperti anak-anak dan adik-adiknya. 

Kini Puan Hajjah Asmah bt. Tukiran atau sinonim dengan panggilan ummi telah pergi. Terasa sebak hati ini. Tiada lagi celoteh seorang ibu kepada anaknya. Celoteh seorang kakak kepada adiknya. Ummi telah pergi buat selama-lamanya menyambut panggilan Ilahi. Namun segala kata-kata dan nasihatnya akan tetap jadi kenangan dan tidak akan luput dalam kamus ingatan.

Ummi  telah kembali keRahmatullah pada tanggal 11 Safar 1432 bersamaan 15 Januari 2011. Sabtu, lebih kurang jam 3.30 petang,didalam usianya 54 tahun. Semoga rohnya dicucuri Rahmat dan ditempatkan bersama  orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin..!

Cuaca suram yang mengiringi jenazah ummi benar-benar meruntun hati ini. Siapalah kita untuk menolak Qada’ dan Qadarnya.

Lebih kurang jam 11 pagi, pada hari Ahad, jenazah ummi disembahyangkan di masjid Taman Meru berhampiran terataknya. Saya dan beberapa sahabat sempat bersembahyang  jenazah bersama-sama jemaah yang lain.

Dengan diiringi kaum keluarga dan sahabat handai yang dikasihi, akhirnya jenazah ummi selamat disemadikan……’Inna Lillah, Wainna ilaihi Rojiun’…Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita akan kembali. Mudah-mudahan kita semua berkumpul dan bertemu di SyurgaMu.

Al-Fatihah buat Ummi.


Coretan.
Hamoma 
(Hamidah bt. Omar)
PASTI Al-Furqan
Bandar Seri Iskandar
Bota. 
Perak Darul Ridzuan.
16 Januari 2011

No comments:

Post a Comment